Saturday, April 30, 2011

A Beautiful & Memorable Trip to Dumai - LakeToba - Medan (6)

Keadaan jalan di sekitar Danau Toba saya kategorikan sebagai sederhana saja. Ada jalan yang elok tar nya, ada jalan yang berlopak-lopak. Kebersihan kawasannya tidak mampu saya kategorikan sebagai B pun. Mungkin C+ lah.

Setelah pusing-pusing dalam kereta, kami pun menuju ke hotel berhampiran untuk berehat meluruskan pinggang dan membersihkan tubuh. Sementelah kereta memasuki kawasan hotel, sekali lagi air mata saya bergenang kerana inilah tembok yang saya mimpikan selepas warong tadi. Adakah ini pengembaraan mimpi saya, sama seperti di Beijing dahulu ? Subhanallah.

Mimpi


Mimpi
Mimpi

Saiz Danau Toba

A Beautiful & Memorable Trip to Dumai - LakeToba - Medan (5)

Tidur dalam kereta sambil tercampak-campak badan sepanjang malam hingga Subuh. Stamina memang kena kuat,kalau tidak pasti mulut sudah merungut-rungut dan kepala jadi pening. Jika anda mahu berjalan-jalan melihat alam, kesihatan badan mesti tip top. Mulut mesti kunci cukup-cukup daripada membebel dan menggedik sebab itu tak kena, dan ini tak kena. Jika tidak, percutian anda memang tidak menyeronokkan. Berfikiran postif sepanjang jalan adalah sangat perlu.

Syukur Alhamdulillah, walaupun Pak Saregar bawa kereta macam racing F1 , kami tiba dengan selamatnya di daerah Parapat ( Danau Toba ) pada pukul 6.30 pagi. Solat Subuh di Masjid Raya Taqwa Parapat . Cuacanya dingin, air paip juga dingin.

Kami nyaris-nyaris tersepit di celah lori malam itu, ketika Pak Saregar nak memotong lori, ada lori besar dari arah bertentangan menghampiri kami. Jarak antara lori di kanan dan di kiri cuma 10 inci sahaja. Pheww !~ Allah panjang usia kami.Alhamdulillah.
Di hadapan masjid ada warong kopi untuk jemaah minum pagi. Seusai solat, abah terus ke warong untuk minum Copucino Indocafe dan roti tempatan Indonesia. Orang di sini juga makan Mi Pop ( ala-ala Maggie in cup ) pada waktu pagi. Tak boleh terima. He he. Warong kopi ini rupanya sama seperti warong kopi dalam mimpi saya 2 minggu yang lepas. Macam biasalah, air mata bergenang bila ternampak tempat dalam mimpi.

Ada seorang jemaah yang turut minum satu meja kami, dia cerita - ramai ahli keluarganya pergi buat medical check up di Mahkota Hospital, Melaka. Biaya perubatan campur tambang feri /kapal terbang ke Malaysia lebih murah berbanding biaya di hospital Indonesia. Lagipun, fasiliti di hospital sana juga tidak semewah di Malaysia.

( Kita kalau boleh nak masuk hospital kerajaan,sebab murah. Sebut swasta...eeemmm... panjang fikir. Melainkan ada insurans cover )

Warong dalam mimpi. Lama kami lepak di sini, sampai kena 'halau' dek tauke kedai. He he.
Sorry mbak, lama duduk dalam kereta, sengal betul badan. :)

Masjid Raya Taqwa Parapat

Bagus sekali saranan banner ini. Sepatutnya, di Malaysia pun
perlu ada banner-banner yang straight forward begini.

Lepas solat subuh dan minum, energi tubuh macam baru lepas refill. Kami naik kereta meninjau-ninjau Danau. Ya lah kan, dah tujuannya ke Danau Toba. Bila dah sampai mesti tak sabar nak tengok rupa tasiknya.

Cuaca agak mendung pagi itu, air di tasik juga tenang. Macam tak menyambut kehadiran kami. Ha ha. Janganlah nak berangan air tu hempas-hempas pantai, macam ombak laut pula kan . Adatlah air tasik senyap dan sepi. Tak ada angin, tak ada panas.

rumah-rumah di Parapat,Danau Toba
Berjualan di waktu pagi


Pemandangan Danau Toba
Ada feri yang boleh bawa kita jalan-jalan, tapi cuma ke 1 tempat sahaja. Bayarannya 5000 rupiah, lebih kurang RM2. Sebenarnya ada 3 tempat boleh berhenti di keliling Danau Toba. Em, badan pun tak sedap sebab tak mandi hampir 24 jam, jadi eloklah check ini hotel dulu.

Friday, April 29, 2011

A Beautiful & Memorable Trip to Dumai - LakeToba - Medan (4)

** BERSYUKUR LAH DENGAN JALAN BURUK DI MALAYSIA **

Percayalah cakap saya. Jika anda rasa jalan Malaysia ni banyak lubang ninja turtle dan buruk, ada tempat lain lagi buruk lagi. Perjalanan 12 jam Dumai- Danau Toba sangatlah mencabar dan kelakar.

Yang Kelakar : Sebab di sepanjang jalan, ada pembetung air di tepi jalan. Di Malaysia, pembetung ni di tanam di dalam tanah, itulah sebabnya JKR selalu korek-korek jalan. Di Dumai, kos mengorek tanah sangat tinggi dan disebabkan rasuah yang tinggi juga , maka pembetung air ini cuma mampu di pasang di atas jalan sahaja.

Akibatnya, rakyat terpaksa buat titi untuk masuk ke rumah mereka yang letaknya cuma di tepi jalanraya. Titi dibina di atas pembetung. Ada juga yang tak buat titi, tapi kalau nak masuk rumah terpaksalah lalu bawah pembetung pula. Kelakar betul, macam main pondok-pondok.

Kelihatan juga anak-anak kecil bermain layang-layang di atas pembetung. :)

Rumah-rumah rakyat ini letaknya di kawasan air paya bakau. Airnya kotor, dipenuhi dengan tumbuhan paya, malahan ada juga kelapa sawit yang terbenam-benam di air paya ini. Rakyat di sini menggunakan air paya untuk membasuh, mandi dan sebagainya.

Habis tu, pembetung air ni untuk apa ? Oh, ini adalah untuk menyalurkan air bersih ke kawasan perlombongan minyak. Bukan untuk rakyat.


Yang Mencabar : Kami terpaksa mengharung jalan yang super duper teruk, berlubang, berlekuk dan bertanah tak bertar ini sejauh 40 km ! Bayangkan, 40 km badan ni digoncang-goncang dalam kereta. Rasanya seperti ; bila kita naik bot kecil di laut, terpaksa pula meredah melintang gelora air selepas kapal besar lalu. Memang tercampak-campak.


40 km ! teruknya jalan...jahanam allignment kereta.

Solat Maghrib dan Isyak di masjid yang sangat besar, tapi rupanya belum siap. Di sini memang selamba, masjid tak siap lagi, tapi dah boleh guna dan berjemaah di sini. Nyamuk sangatlah banyak. Saya gelar masjid ini masjid "reggae", kerana pintu gerbangnya di cat warna merah, hijau dan kuning.

 
Kubah masjid yang tersangat besar. Terpesona melihat kerangka kubah ini
 
Cume beralas tikar,tingkap pun belum di pasang lagi
Ruang mengambil wudhuk yang sangat besar. Ada lagi di sebalik dinding ini.
Tapi kelakar juga sebab air tak dapat mengalir dengan baik,
semuanya terperangkap dalam batu-batu kecil. Esok-esok jadi tempat nyamuk dan busuklah.

Makan malam di Rumah Makan Arowana. Macam tahu-tahu saja kami ada kena mengena dengan ikan arowana. Es jeruk dan Es Pokat nya sangat sangat sangat sangat sedap. Kami juga dihidangkan dengan desert aneh ini, betik + agar-agar nescafe. Oh, kombinasinya sangat tak kena.


Agar-agar itu dibuat di dalam betik.

A Beautiful & Memorable Trip to Dumai - LakeToba - Medan (3)

** PERJUANGAN PUN BERMULA **

Fuh. Tajuk ni macam nak pergi berperang pula kan ? Ya !

Setibanya di Pelabuhan Dumai, kami menghadapi masalah dengan imegresen Indonesia kerana kami tidak mempunyai tiket pulang ke Malaysia.Sebenarnya, abah plan supaya dari Dumai terus ke Danau Toba, kemudian ke Medan,dan dari Medan ke Tanjung Balai. Sebab perjalanan feri dari Tg Balai ke Port Klang cuma 2 jam saja. Jadi, sudah tentulah kami akan beli tiket di Tg Balai,kan ?

Oh, rupanya lain yang jadi. Orang Imegresen minta kami bukti tiket balik ke Malaysia, jika tidak, kami tak boleh masuk Dumai. Pulak dah.

Biasalah orang Indonesia sangat cekap dalam hal ini. Wakil dari syarikat tiket memang sudah ada di situ untuk menjual tiket Dumai-Port Klang kepada kami. Bisnes. Bisnes. Masalah orang adalah peluang bisnes. Kalau tak ada masalah, ciptalah masalah.  Hemm...Apa boleh buat, perjalanan mesti diteruskan. Beli sajalah tiket itu dan terpaksalah kami mengharung perjalanan panjang lagi waktu pulang nanti.

Inilah perjalanan yang tidak ada tour guide, kawan atau apa-apa persediaan. Macam belon dilambung-lambung saja. Ikut saja ke mana angin menolak. He he.

( saya tidak mengambil gambar di jeti Dumai, mengurangkan risiko kecurian kamera,harta benda dan keselamatan )

Di luar pelabuhan, sudah berduyun-duyun supir menanti untuk mencari pelanggan. Naik pening juga bila asyik diburu dan ditanya mahu ke mana.

Abah cakap, nak ke Danau Toba. Bagaimana kalau naik bas ? Boleh. Naik pukul 5ptg , sampai Danau Toba pukul 7 pagi esoknya. Ha ha. Lebih 12 jam perjalanan naik bas beramai-ramai,non stop. Sesiapa ada hajat besar atau kecil sila ke jamban dalam bas ya.

Bermakna, tak berhenti untuk Solat ! Mana boleh begitu. Naik bas sangat tak islamik. Jadi, kami pun memilih untuk sewa van bersama Pak Supir. Bayaran untuk satu hari ialah sebanyak 600 000 rupiah. Duit minyak ditanggung sendiri. Ya, kan senang begitu. Boleh solat, berhenti makan, dan tidur dengan aman.



Yang penting, solat Zuhur dan Asar dahulu di Dumai. Di masjid ini, ada diukir nama-nama Allah di dindingnya, tiles yang berwarna hijau ini sangat menyejukkan hati. :)
Terasa lega bila dah selesai urusan dengan Allah. Sekarang, urusan perut pula. Makan tengahari dulu sebelum meneruskan perjalanan ke Danau Toba. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang bila kami bertolak.

Kami menggunakan perkhidmatan sewa van dari Travel & Tour di Dumai. Pak Supir kami bernama Pak Saregar. Keturunan Batak. Orang Dumai memang ramai orang Batak. Mak dan abah selalu cakap, orang Batak makan orang.

Erk.

Bas ke Dumai - Medan sangat banyak.

Semangat betul iklan rokok di Indonesia. :)

A Beautiful & Memorable Trip to Dumai - LakeToba - Medan (2)

** QUILLING DALAM FERI **

Memang saya sudah merancang untuk menganyam kertas sepanjang 4 jam di dalam feri Port Klang - Dumai. Sudah saya bayangkan betapa banyaknya saya boleh quil, tanpa di marah emak. Ha ha. Inilah masanya untuk buat apa yang saya suka. Kertas.Kertas.Kertas.

Bekal sudah di bawa. Saya siap-siap potong kertas untuk dibawa bercuti. Toothpicks, gam, tweezer pun dah bawa. Siap masuk dalam 2 plastik yang berbeza. 1 untuk tools, 1 lagi untuk kertas. Kalau dah suka, sanggup buat apa saja kan ? The power of love. :)

Tolong abaikan kertas yang kelihatan mencucuk hidung saya itu. Ha ha.
Tak tercucuk pun sebenarnya. Hish.. malulah.

Di awal perjalanan, saya cepat-cepat keluarkan semua peralatan saya dan mula 'menganyam'. Oh ya, nampak tak Pakcik berketayap di hujung tu... dia memang sangat rajin dan otak dia tak pernah berehat. Ada saja yang digodek, kejap telefon orang, kejap lagi menulis-nulis, kejap lagi kira duit, kejap lagi korek poket. Ada saja lah yang dibuat. Fuuuuhh...


** TUTORIAL BUNGA ROSE COMEL **

Terima kasih mak, sebab jadi photographer untuk tutorial bunga rose comel ini. Sebenarnya, tak cadang pun nak buat tutorial, cuma nak buat rose banyak-banyak supaya mudah di kemudian hari. Tambahan, ini anyaman yang agak simple untuk dibuat di ruang yang terhad.

Pertama, gulung rapat-rapat :)

Gam hujung kertas. Harap maklum ya, ruang sangat terhad -
jadi, kaki, tangan, mulut, celah handbag, pelipat jeans, semua jadi tempat saya meletak alat dan kertas.


Untuk buat batang dan daun rose, belah 1cm kertas.

Gulungkan belahan kertas itu supaya menjadi daun.
( alahai, tak pandailah nak buat ayat )

Ha, macam ni lah.
Cantumkan bunga dan batangnya. Dah siap ! :)
Oh Ima, senangnya tutorial hang. He he. Saya cuma bertahan untuk buat kerja-kerja renyah ini selama 1 jam sahaja. Sebab Nasi Goreng dan Air mineral yang diberi orang Feri itu sudah menjelma-jelma di fikiran saya. Laparlah. Tadi berangan nak quilling 4 jam konon.

Marilah bersarapan dahulu di dalam feri. Alahai...nasi gorengnya memang gaya budak tadika masak. Bukanlah nak mengata-ngata kan, tapi apa salahnya masak sedap-sedap. Tambang feri RM 110 tapi bagi kualiti nasi goreng macam 30sen saja- kan saya dah mengata-ngata.

Perjalanan masih jauh, ada 3 jam lagi dalam feri. Sejuknya bukan main sebab kami duduk betul-betul berdepan dengan aircond. Makanya, tuala kecil diguna untuk menutup hidung yang sudah membeku. He he.

A Beautiful & Memorable Trip to Dumai - LakeToba - Medan (1)

Tajuk dalam Bahasa Inggeris, sajalah suruh Google recognize.

** TRIP PERGI YANG MENCABAR **

( Saya galakkan anda membaca travelog saya ini kerana ada banyak perkara menarik menyusul sepanjang percutian saya ini. Ini adalah travelog beralbum. Memang panjang sirinya. Harap tekunlah membaca ye. Tapi kalau boring, tak payahlah. He he )

Menjadi kebiasaan saya, jika saya ke luar negeri atau bercuti di mana-mana , pastinya akan terjumpa tempat-tempat tertentu yang pernah saya mimpi sebelum tiba di tempat itu. Ia adalah anugerah Allah untuk saya sejak saya darjah 6 lagi. Alhamdulillah. :)

Sebenarnya, mak dan abah plan nak ke Tanjung Balai sejak awal April lagi. Saya memang tak nak ikut sebab nak buat kerja-kerja ofis. Tapi, plan ke Tanjung Balai itu asyik tertunda-tunda. Kesudahannya, baju yang dah siap di 'pack' dalam beg pun sudah terkeluar. He he.

Hari Jumaat (22 April 2011), saya cakap dengan mak, saya ikutlah sekali pergi ke Tanjung Balai,dan cadang untuk pergi pada hari Ahad (24 Apr). Mak OK saja. Abah terkejut juga sebab macam tak sangka agaknya saya nak ke Tanjung yang tak ada apa tu. Malah tak pernah didengari dek telinga orang lain pun nama tempat itu. He he.

Misi awal : Pergi berjalan melihat tempat orang, naik Feri dari Port Klang untuk 3 hari.

Hari Ahad pun tiba. Terima kasihlah Kak Teh sebab tolong hantar kami bertiga ke Komuter Sentul pukul 7 pagi. :-) . Saya rasa, untuk tahun 2011 ni, hari itulah saya mandi awal pagi. Ha ha. Rasa macam nak pergi sekolah saja.

Perjalanan mengambil masa 1 jam 15 minit dari Komuter Sentul ke Stesen Port Klang. Muka masih sembab-sembab bangun pagi, naik komuter yang sungguh dingin di dalamnya. Waduh,lama sungguh tak naik komuter. :)



Nampak cermin tu...berkabus lagi..tu tanda memang saya keluar awal pagi. he he
Setelah menggagahkan diri selama 1 jam di dalam komuter untuk melawan mengantuk di pagi Ahad, akhirnya tiba juga di Komuter Pelabuhan Klang. Alhamdulillah. Oh, untuk pengetahuan - kami bertiga belum lagi beli tiket feri ke Tanjung Balai tu. Tapi tahulah yang ada feri pukul 11 pagi.


Dari stesen komuter ke Jeti Pulau Ketam ( tempat membeli tiket dan naik feri )
Tu mak tengah angkut beg biru.
Inilah rupa Jeti Pulau Ketam. Dari sini boleh ke Tanjung Balai, Pekan Baru, Dumai
Dengan sangat confident, kami sungguh bersemangat nak beli tiket feri ke Tanjung Balai. Rupa-rupanya, hari Ahad kaunter tiket ke Tg Balai ditutup dan memang tak ada feri langsung ke Tanjung Balai. Ah ! Sudah !!! Tak ada feri ke Tg Balai !

Mati akal seketika kami bertiga. Macam mana ni , baju semua dah siap pack untuk 3-4 hari punya percutian. Dah harung 1 jam lebih naik komuter siap menyusahkan Kak Teh pula. Takkan nak patah balik ke KL ? Takkan nak tidur semalam di Klang ?


Oklah, kepala pun dah buntu sebab perut belum terisi. Chakra kuning dah low battery, perlu di isi dengan sarapan dulu. Kami pun bersarapan di gerai depan Jeti. Entah apa-apa la mihun gorengnya. Itu pun boleh berniaga. Buat sedap sikit tak boleh ke? Haiya.

Kata sepakat telah dicapai. Kata saya " Abah,kita dah separuh jalan - jalan je lah ke Dumai tu "

Apa nak buat ke Dumai ? Ok, boleh ke Medan dan Lake Toba. Jalan buruk, naik van entah apa-apa, atau naik bas entah apa-apa dari Dumai ke Medan lebih kurang 12 jam !

Mak datok ! Maknanya, saya naik feri pukul 10pagi ni,... esok pagi subuh baru sampai sana. Subhanallah...Jauhnya perjalanan.Hantam sajalah.

Abah dan mak pun Okay. Saya Okay. Kami pun beli lah tiket pukul 11pagi ke Dumai. Setelah cop pasport, kami perlu duduk menunggu bersama geng-geng Indonesia. Rasanya boleh kira tak sampai 10 orang pun berpasport merah di situ. Ha ha. Terasa macam warga asing pula.

Anggota Rela yang bertugas di situ pun perangai entah apa-apa. Orang dilayan macam binatang,cakap kasar-kasar. Tunjuk 'eksyen' tak pasal-pasal, konon tunjuk ada kuasa. Alahai, sikap yang ditunjuk tu macam dulu kecil-kecil kempunan tak dapat jadi pengawas sekolah. Bila dapat kuasa sekarang, eksyen bukan main. Sabar aja lah.

Menanti di sini sebelum naik Feri.
Saya suka tengok kapal-kapal di pelabuhan. Berniaga apa lah mereka ni .. ish..
bila saya boleh ada kapal sendiri ? he he


Akhirnya, waktu yang dinanti-nanti telah tiba. Sudah boleh naik Feri Indomal Express 2. Walaupun beg sandang berat dibelakang badan, bahu kiri galas handbag, bahu kanan galas beg kamera.. leher disangkut kamera, saya gagahkan diri untuk merakam sebaik-baiknya perjalanan ini.

Bukan gambar paling cantik menjadi tujuan kamera ini, tetapi rakaman perjalanan.

Friday, April 22, 2011

Pari-pari Pink 18/4/11

Tadaaaaa!~~ Inilah pari-pari pink yang saya buat minggu lepas. Bila tengok betul-betul, tak lah pink sangat, ada warna merah-merah juga.. nanti saya akan buat versi pink yang lain pula.

Selepas ini, projek pari-pari purple. yeeehhaaarr..

Have a look, dear !




Pari-pari ini di buat pada 18 April, bermakna genaplah 3 bulan saya terjebak dalam aktiviti quilling ini. Pada 18 Januari yang lalu, saya hanya mampu buat bentuk LOVE seperti di bawah ini sempena birthday saya.


Dan untuk Kak Ain Maisarah, macam tak sangkalah saya dah boleh buat pari-pari ! :) sukanya saya..

Have a look, ini pari-pari biru pertama saya.


Alamak, untuk yang pink tu saya terlupa nak buat rambu ramba laaa...............



Wednesday, April 20, 2011

Beli kertas, Pari-pari Pink, dan Idea baru

Minggu lepas, saya telah meninggalkan komen di FB Ain Maisarah ( novelis remaja terkenal di Malaysia ). Saya menyampaikan hasrat untuk membuat beberapa pari-pari berwarna pink dan purple untuk beliau sempena Pesta Buku Antarabangsa di PWTC nanti. 

Jadi, saya pun pergilah meronda-ronda di MPH MidValley membeli kertas-kertas warna. Tak puas di MPH, saya ke Jaya Jusco pula untuk beli lagi kertas warna. Sampai di rumah, tak sabar-sabar nak susun kertas ...weeee !~~

Pada weekend yang lepas, Alhamdulillah..satu pari-pari pink sudah siap. Yeeehaa !~~  Seronoknya saya. Kali ni, saya dah potong siap-siap kertas dan gulung awal-awal. Jadi, tak lah ambil masa sampai 3 jam untuk buat satu pari-pari. Yezza. Ima sudah semakin bijak menggunakan masa.

Akhir-akhir ini juga saya banyak berfikir bagaimana untuk memantapkan blog-blog bisnes saya. Teknik-teknik mengiklan, update FB, dan 'alat-alat' marketing telah saya sediakan serba sedikit. :) Ini antara hasil-hasilnya.

FaizalEhsan ialah sepupu saya. Dia ni usahawan yang
memasarkan produk halal ke seluruh negara. Power tau !


Ini produk terbaik untuk minda
Utk blog Realelite World dan Anak Salindah

Pn Azlita & Anak Salindah datang ke kedai saya
petang tadi.. seronoknya... :)
Testimoni Anak Salindah

Tuesday, April 19, 2011

Kertas dan Cinta dalam CraftZone Malaysia

Yeay ! Saya rasa gembira bila tengok blog ini dah tersenarai dalam CraftZone Malaysia. Sebenarnya, bukan nak kecoh-kecoh sangat pasal blog ni, sebab blog ni tak lah canggih sangat jika dibandingkan dengan Blog Craft & Quilling yang lain.

:) :) Apa pun,saya nak gembira jugak. La la la la...



Di sini, anda akan berpeluang untuk menerjah banyak blog-blog menarik berkenaan arts,doodle,kertas,quilting,dan apa saja yang boleh disebut kreatif. Memang boleh pengsan tengok segala cekenoit yang cute-cute bagai. 

Selamat memengsankan diri ! Sila lah ke Craft Zone. :) he he he