Ketika saya mencari gambar ini, jiwa saya diruntun kesedihan. Sepertinya dia masih ada. Sepertinya saya baru sahaja bergurau senda dengannya semalam ! Sejak pemergian abadi MakNdak, tiada setitis pun air mata jatuh di pipi saya. Bila melihat mak asyik terkenang-kenang kakaknya...saya tidak rasa apa-apa. Ketika tubuhnya yang kaku itu dicium ahli keluarga untuk terakhir kali, saya hanya melihat mereka menangis. Tiada setitis air mata dipipi saya. Tiada. Fikir saya - saya telah Redha sepenuhnya. Jiwa saya tenang. Redha kah itu namanya ? Atau mungkinkah saya degil untuk percaya bahawa makndak sudah tiada ?
Semenjak hari pertama bertemu MakNdak selepas berita menghidap kanser itu, saya membuka hati saya luas-luas untuk sentiasa bersamanya. Sentiasa memberi healing untuknya. Inilah cabaran saya sekali lagi...sebagai Reiki Healer. Saya masih terkenang rupa payudara arwah MakLong yang membuak-buak kansernya. Tapi tika itu saya masih kecil ! Saya tiada ilmu. Saya tidak tahu apa-apa.
Jadi, saya mahu sedaya upaya membantu makndak menghadapi kesakitan ini. Saya mahu makndak sembuh. Semua orang fikir dia akan sihat.. tapi hari ini...dia sudah tiada..Kata mak, Kanser ni seperti sudah ada tempoh dan tahu tarikh kematiannya. Saya setuju, tapi saya juga mahu melawan. Kerana banyak bacaan saya ketika membuat tesis dahulu- kanser boleh pulih. Ramai yang pulih, ada banyak rawatan alternatif. Boleh dengar muzik hipnosis, boleh buat reiki, boleh akupuntur, boleh mindpower..macam-macam rawatan ada. Jangan mengalah.
Tapi makndak sudah tiada..
Mak selalu ingat-ingatkan saya...MakNdak dulu jaga saya ketika saya masih bayi. Saya cukup nakal kerana hanya mahu tidur atas kaki makndak yang melunjur. Sampai kebas kakinya...makndak beri saya makan...
MakNdak cuma bersekolah hingga darjah 6. Berkorban demi adik beradik yang lain - kerana keluarga kami miskin. Bila mak dan adik beradik balik dari sekolah, makndak sudah siap masak untuk semua. Kain baju sudah habis di basuh.
Teringat saya makndak juga punya rambut yang cantik ketika muda-muda. Dia suka warna merah. Ketika saya umur 12 tahun, saya suka buka almari di kampung dan cuba-cuba pakai kebaya merah makndak. Tapi bila saya pakai..tak cantik. Sebab belum ada body. ;). Sekarang, tak payah cuba lagi, confirm tak muat sebab body dah berlebih-lebih.
Saya sempat menghabiskan waktu hampir dua minggu untuk merawat makndak. Saya urut badan makndak... banyak cerita yang sempat kami sembang dalam bilik terapi.. Saya cuma mahu makndak ketawa dan lupakan kesakitannya. Kerana ketawa akan memecah energi negatif pada aura tubuh, akan membuang semua kesakitan. Saya mandikan makndak dengan Ultrasonic Bubble Bath... Saya Reiki makndak. Saya buang trauma makndak... Saya buat apa yang saya tahu..dan saya mampu. Segala penyembuhan saya serahkan pada Allah yang Maha Pengasih.
Subhanallah. Terima kasih MakNdak..kerana memberi Timah peluang untuk menimba pengalaman berharga. Detik bahagia bersama...akan Timah ingat sampai bila-bila.
Setiap kali saya terasa MakNdak kesakitan dan mengharapkan saya disisinya..saya akan segera lakukan Reiki Jarak Jauh. Mudah-mudahan, berkuranganlah sakitnya.. Saya hanya mampu berdoa agar Allah mengurangkan kesakitannya.
Beruntunglah MakNdak kerana bertegas untuk menjadikan anaknya al-hafidz. Hafiz anak tunggal sama seperti saya. Kehilangan ummi adalah kehilangan terbesar dalam hidup. Tapi Hafiz tabah. Hafiz cekal. Saya tak pernah jumpa anak lelaki yang menyayangi dan menunjukkan sayang pada ibu seperti Hafiz buat. Teruskan berdoa untuk ummi, ya... Hafiz.!
Hari ini sudah cukup 16 hari kami sekeluarga kehilangan bidadari syurga. MakNdak mengajar anak-anak jirannya mengaji Quran sama seperti atuk Husin ajar. Sayangnya pada anak-anak kecil mengatasi segalanya. Bila budak-budak sudah berada di luar pintu rumah, tetapi dia masih belum solat Zuhur...katanya dia tak dapat solat dengan kusyuk kerana risau anak-anak itu diculik. Hebatnya MakNdak !
Tangan saya sudah tidak mampu untuk menaip lagi.
Hati saya semakin tebal sebaknya.
Sebenarnya saya mahu bercerita tentang hikmah dan pengajaran besar yang saya dapat dari kehilangan MakNdak. Tapi, untuk bercerita kisah ketika hidupnya saja sudah begitu panjang...Dan saya tidak mampu untuk teruskan lagi.
Alfatihah & Yassin .
* Sejak berita MakNdak menghembuskan nafas terakhir hingga sekarang...saya masih enggan mengalirkan air mata.... Ketika kucupan terakhir itu, saya bisik di telinganya..." Mak Ndak, terima kasih jaga Timah.. Timah sayang Mak Ndak ".
No comments:
Post a Comment